am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun ditemukan meninggal dunia selepas sebuah rumah dua tingkat yang didiaminya terbakar di Pasar Gok Kapor, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, malam ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.43 malam.
Katanya, seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Kota Bharu, BBP Kota Darul Naim dan BBP Pengkalan Chepa kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berukuran kira-kira 30 kaki panjang dan 50 kaki lebar yang dianggarkan 95 peratus musnah akibat kebakaran berkenaan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 9.24 malam, manakala operasi memadamkan keseluruhan kebakaran masih dijalankan.
Mayat mangsa yang terperangkap masih berada di dalam rumah dan pihak bomba sedang berusaha untuk mengeluarkannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
