Kuala Lumpur: Skuad remaja wanita kebangsaan terkandas di suku akhir pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2026 selepas tewas 0-1 kepada Korea Selatan hari ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Jung Sebhin menerusi pukulan penalti pada minit ke-50, sekali gus menyekat kemaraan Malaysia pada kejohanan berkenaan.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim gagal mara ke separuh akhir selepas mengharungi aksi Kumpulan Elit yang berkesudahan mereka tewas kepada China, India, Jepun dan Korea Selatan.
Malaysia membuka kempen dengan kekalahan 1-6 kepada tuan rumah China pada 4 September lalu sebelum dibelasah 1-11 oleh juara bertahan India dua hari kemudian.
Skuad Young Tigress kemudian tewas 0-1 kepada Korea Selatan pada Isnin lalu sebelum tewas kepada Jepun 0-5 semalam.
Bagaimanapun, semua lima pasukan dalam Kumpulan Elit sudah mengesahkan tempat ke suku akhir mengikut format kejohanan, dengan tiga lagi slot diisi pasukan terbaik daripada Kumpulan Cabaran.
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini meletakkan sasaran utama kepada skuad remaja wanita negara untuk memburu satu daripada lima tiket ke Piala Dunia Remaja 2027.
Ketua jurulatih Young Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata anak buahnya menampilkan semangat juang yang tinggi dan bertahan dengan baik sepanjang perlawanan.
“Dengan semangat seperti ini, walaupun kami adalah pasukan yang kurang berpengalaman, masih baharu dan muda, selain kehilangan tiga pemain utama yang beraksi di Sukan Asia, kesemua pemain di sini menunjukkan kualiti mereka,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi MHC hari ini.
Young Tigress dijadualkan bertemu Bangladesh dalam penentuan tempat kelima dan keenam pada pukul 10 pagi, Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
