Warga emas maut dihentam besi 'longshaft': Polis siasat aspek penyelenggaraan lori

Warga emas maut dihentam besi 'longshaft': Polis siasat aspek penyelenggaraan lori

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Polis memulakan siasatan susulan insiden besi penyambung ‘longshaft’ seberat lebih 100 kilogram (kg) pada sebuah lori tipper yang tercabut dan menghentam seorang warga emas hingga maut di Jalan Sri Bengkal, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata siasatan lanjut itu dijalankan dari segi penyelenggaraan kenderaan berat terbabit dan sebagainya dengan majikan mereka.

Shahrulanuar berkata, pada ketika ini, ujian saringan air kencing sudah dijalankan ke atas pemandu berusia 56 tahun namun negatif bahan terlarang.

“Dalam kejadian jam 9.07 pagi, kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan ke arah Parit Yaani untuk ke Segamat.

“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba cermin hadapan kenderaan dinaikinya ditembusi objek dipercayai komponen lori yang tercabut ketika kenderaan berat itu bergerak dari arah bertentangan.

“Akibatnya, mangsa (Juhari Murid) berusia 63 tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu kenderaan berusia 58 tahun yang juga adik mangsa serta tiga lagi penumpang yang juga kakak dan isteri mangsa berusia 58, 65 dan 68 tahun tidak cedera.

“Pemandu lori juga tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top