am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Seorang warga emas wanita maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh ke pembahagi jalan di Jalan Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah Seri Alam berhubung kemalangan itu yang membabitkan seorang mangsa dan sebuah kenderaan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi tadi, ketika mangsa yang juga warga tempatan berusia 64 tahun itu menunggang motosikal dari tempat kerja di pekan Ulu Tiram menghala ulang ke rumahnya di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram.
“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas dan terjatuh ke atas pembahagi jalan sebelah kanan.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa parah bahagian dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohd Sohaimi menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




