Tuaran: Warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Tombongon, Kiulu, di sini, malam tadi.
Difahamkan, kejadian 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ah Chong, 60-an, tinggal seorang diri di rumahnya yang terletak berhampiran gereja serta jauh dari rumah penduduk lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.29 malam berhubung seorang mangsa dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran rumah.
Katanya, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pihak bomba mengambil masa selama 21 minit sejauh 25 kilometer ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, rumah didiami mangsa didapati terbakar sepenuhnya.”
“Pasukan bomba bertindak memadamkan api sehingga berjaya dikawal dan menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung pada jam 12.05 tengah malam,” katanya.
Mohd Qawie berkata, kebakaran terbabit memusnahkan 100 peratus struktur rumah terbabit.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
“Operasi ditamatkan jam 12.40 tengah malam,” katanya.



