am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Warga emas yang tular kerana tindakannya menampar seorang pemuda yang dikatakan makan secara terbuka di bulan Ramadan, akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, lelaki berusia 65 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Hari ini, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri dan hasil penelitian, diputuskan untuk menuduh suspek (di mahkamah).
“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau akan dibawa ke mahkamah esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sosial sebelum ini tular video pemuda ditegur warga emas kerana makan secara terbuka ketika umat Islam berpuasa di pusat beli-belah di sini.
Berlaku ketegangan apabila warga emas itu meminta pemuda terbabit menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam, namun pemuda terbabit enggan dan mendakwa ditampar warga emas terbabit beberapa kali.
Pada masa sama, Balveer Singh menasihati orang ramai supaya lebih rasional dalam tindakan dan tidak melanggar undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




