Warga Pakistan catat rekod tertinggi ditahan JPJ, pandu kenderaan tanpa lesen

Warga Pakistan catat rekod tertinggi ditahan JPJ, pandu kenderaan tanpa lesen

am@hmetro.com.my

Seremban: Tidak gentar tindakan undang-undang. Itu kesimpulan terhadap tindakan warga asing di negeri ini yang berani menunggang motosikal atau memandu kenderaan tanpa lesen sah.

Difahamkan warga asing menggunakan motosikal untuk menjual aiskrim, menjual roti dan mengambil upah memotong rumput.

Malah lebih mengejutkan ada di antara mereka yang turut memandu kenderaan mewah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober lalu, sebanyak 3,741 kenderaan diperiksa sebelum 498 daripadanya diambil tindakan membabitkan 2,710 notis.

“Manakala sepanjang tahun lalu, sebanyak 4,811 kenderaan diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak 746 diambil tindakan dengan 3,588 notis dikeluarkan.

“Warga Pakistan mencatatkan pemandu warga asing paling ramai yang diambil tindakan membabitkan 244 kenderaan dengan 1,091 notis dikeluarkan pada 2025.

“Pada 2026, sebanyak 197 daripada 1,683 kenderaan yang diperiksa diambil tindakan dengan 888 notis dikeluarkan membabitkan warga Pakistan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, kawasan Sikamat di Seremban dan Nilai menjadi lokasi panas warga asing yang dikesan kerap melanggar peraturan jalan raya.

“Kebanyakan daripada mereka ini adalah warga Pakistan, Indonesia dan Bangladesh yang melakukan pelbagai kerja menggunakan kenderaan yang disita seperti motosikal roda tiga.

“Berdasarkan statistik pada 2025, sejumlah 374 kes membabitkan motosikal, 205 kes kereta, 121 kes kenderaan perkhidmatan awam dan 46 kes kenderaan perdagangan barangan.

“Bagi tempoh Januari hingga 11 Oktober tahun ini, jumlah yang direkodkan ialah 313 kes kategori motosikal, 149 kereta dan 36 kenderaan perdagangan barangan.

“Pihak kami juga mengesan kenderaan mewah yang dipandu warga asing dikesan melanggar peraturan jalan raya dan disita membabitkan sebuah Toyota Velfire dipandu warga Bangladesh, dua Mercedes A250 masing-masing dipandu warga Pakistan dan China serta sebuah BMW Limousine dipandu etnik Rohingya,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan warga asing menggunakan kenderaan yang dipinjam daripada rakan atau menyewanya daripada warga tempatan.

Justeru kata beliau, pihaknya mengingatkan semua pemilik dan pengguna kenderaan supaya memastikan setiap kenderaan yang digunakan di jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bukan sahaja warga asing, pihak kami juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan sama ada majikan atau individu persendirian yang dikesan melanggar peraturan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top