Penglibatan pelajar Islam dalam aktiviti membersihkan kuil perlu dinilai berdasarkan tujuan dan cara pelaksanaannya, bukannya terus dijadikan pertikaian agama, kata Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar.

Memetik laporan MalaysiaGazette, menurutnya, kesediaan membantu menjaga kebersihan rumah ibadat penganut lain boleh membuka ruang kepada kerjasama masyarakat serta mengukuhkan hubungan antara kaum.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa aktiviti tersebut perlu menghormati sensitiviti agama setiap peserta dan peraturan rumah ibadat berkenaan.
“Cuba kita bayangkan, apabila sekumpulan pelajar sanggup menghulurkan tenaga untuk membersihkan rumah ibadat penganut lain, bukankah tindakan tersebut boleh menjadi ruang untuk memupuk sikap toleransi dan perpaduan antara kaum?
“Dalam kita hidup bertamadun dan bermasyarakat, nilai kerjasama serta sikap saling menghormati perlu diraikan dan disambut baik,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sivakumar berkata, usaha yang dilakukan secara sukarela dan dengan pengetahuan pihak berkaitan wajar dinilai dengan mengambil kira nilai pendidikan yang dibawa.
Beliau turut meminta pihak yang membangkitkan isu itu sehingga mencetuskan salah faham antara kaum dan agama supaya menghentikan tindakan sedemikian.
Menurutnya, generasi muda perlu diberi peluang memahami kepelbagaian budaya serta membina hubungan dengan masyarakat berlainan kepercayaan tanpa mengabaikan batas agama sendiri.
“Saya percaya bahawa masyarakat yang bertamadun bukanlah masyarakat yang memisahkan manusia berdasarkan agama dalam setiap urusan kemasyarakatan, tetapi masyarakat yang tahu menjaga batas kepercayaan masing-masing sambil bekerjasama demi kebaikan bersama,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, beliau membangkitkan peranan rumah ibadat sebagai lokasi bantuan kepada masyarakat ketika kecemasan, tanpa mengira latar belakang agama.
Sebagai contoh, Kuil Sri Maha Kaliamman di Putra Heights pernah menyediakan perlindungan sementara kepada kira-kira 200 mangsa letupan saluran paip gas.
Sehubungan itu, Sivakumar menyeru masyarakat menilai isu berkenaan secara rasional dan bertanggungjawab agar perbezaan kepercayaan tidak menjadi penghalang kepada kerjasama.
“Kita perlu membezakan antara menghormati rumah ibadat agama lain dengan mengamalkan kepercayaan agama tersebut. Kedua-duanya bukan perkara yang sama,” tambahnya lagi.
Perdebatan itu tercetus susulan penularan video yang menunjukkan sekumpulan individu, termasuk wanita bertudung, bergotong-royong membersihkan sebuah kuil Hindu di Georgetown, Pulau Pinang.
Pada 13 Oktober, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan kerja pembersihan yang berkait secara langsung dengan penyediaan atau penyelenggaraan tempat dan peralatan khusus untuk ritual agama lain, termasuk patung sembahan serta altar pemujaan.
Beliau menjelaskan bahawa hubungan harmoni dengan penganut agama lain tidak dilarang dalam Islam, namun penyertaan dalam aktiviti tersebut perlu tetap mematuhi batas syarak.
Sumber: MalaysiaGazette (Kasthuri Jeevendran)




