khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sepatutnya tidak `berang’ terhadap pihak yang memasuki sesi siaran langsung di TikTok miliknya baru-baru ini.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, sikap itu tidak mencerna hasrat pendemokrasian media yang dibawakan beliau sebelum ini.
“Apabila seseorang bertaraf menteri itu melakukan sesuatu yang terbuka menerusi platform TikTok, maka perlu ada jangkaan akan berlaku provokasi seperti itu.
“Apabila berlaku provokasi, sebagai seseorang yang lebih tinggi dan lebih besar (jawatannya), perlu merendahkan jangkaan itu dan menganggap ia sebagai lumrah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, tadi.
Fahmi sebelum ini dilapor mengundang maklum balas negatif selepas memberitahu pengkritiknya bahawa mereka mungkin `dikunjungi’ polis ketika sesi siaran langsung di TikToknya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, amaran itu ditujukan kepada mereka yang membuat komen mengenai isu 3R iaitu raja, kaum dan agama.
Mengulas lanjut, Mujibu turut mencadangkan Fahmi menggunakan `pentas’ rasmi pada masa hadapan bagi berinteraksi dengan orang ramai.
“Pada masa hadapan, mungkin lebih molek menggunakan platform rasmi memandangkan ada perbezaan penggunaan TikTok secara peribadi dan juga saluran rasmi sebagai menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Mujibu juga berpandangan orang ramai sepatutnya tidak menimbulkan provokasi yang melampau di media sosial selain melakukan pemeriksaan sendiri terhadap hantaran dilakukan.
“Individu yang mengikuti siaran langsung Tik Tok sepatutnya menggunakan peluang untuk mencipta suasana diskusi lebih sihat dan membina.
“Bukan menyertainya sekadar mahu mengecam, memperkecilkan dan memperlekehkan. Apatah lagi ke tahap menghina serta menjatuhkan maruah,” katanya.
Mujibu berkata, sebagai seorang menteri, Fahmi turut akan ‘terasa’ dengan perkataan atau perbuatan yang mengguris perasaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

