Waris mangsa nahas di Elmina dapat sumbangan Prolintas

Waris mangsa nahas di Elmina dapat sumbangan Prolintas

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) menyantuni serta menyerahkan sumbangan kepada waris mangsa nahas pesawat di Persimpangan Elmina, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, sumbangan itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tanda keprihatinan syarikat selaku penyedia lebuh raya terbesar di Lembah Klang.

“Kami bersimpati terhadap keluarga mangsa-mangsa nahas pesawat tersebut dan diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk menghadapi ujian ini,” ujar beliau.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat PROLINTAS, En. Badri Ibrahim (tiga dari kanan) bersama wakil PROLINTAS menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada balu dan anak mangsa nahas Elmina (Sharipuddin Shaari), Suriana Muda (dua dari kiri) dan Muhammad Sharul Izuan Sharipuddin (tengah) di kediamannya di Sepang, Selangor.

Wakil Prolintas telah hadir menziarah keluarga salah seorang mangsa nahas, Sharipuddin Shaari, pemandu e-hailing di kediaman mereka di Sepang, Selangor pada 12 September.

Dana sumbangan telah disampaikan kepada balu dan anaknya, Suriani Muda dan Muhamad Sharul Izuan Sharipuddin.

Manakala, sumbangan turut diserahkan kepada waris seorang lagi mangsa, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, penghantar makanan di pejabat pentadbiran Prolintas pada 1 September
lalu.

Pada 17 Ogos sekitar jam 2.50 petang, 10 mangsa disahkan maut di lokasi insiden selepas pesawat terhempas di atas overbridge Persimpangan Elmina yang terletak dalam kawasan penyelenggaraan Lebuhraya GCE.

Dua mangsa tersebut merupakan pengguna lebuh raya yang melalui lokasi berkenaan ketika kejadian.

Sementara itu, Persimpangan Elmina, Lebuhraya GCE ditutup kira-kira 24 jam untuk membenarkan kerja-karja siasatan dan pembersihan dijalankan.

Kerja-kerja pembaikan jalan termasuk turapan semula jalan dan cat penanda jalan disiapkan kurang seminggu selepas kejadian. – MalaysiaGazette