KAHERAH: Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin, termasuk tiga wartawan tempatan terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan udara Israel terhadap bandar Beit Lahiya di utara Gaza, semalam.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, serangan itu dilakukan ketika pemimpin Hamas mengadakan rundingan gencatan senjata dengan pengantara di ibu negara Mesir.
Beberapa orang cedera parah ketika serangan itu mengenai sebuah kereta, dengan mangsa yang terkorban terperangkap dalam kenderaan dan kawasan sekitar.
Saksi dan rakan wartawan berkata, mereka yang berada dalam kereta itu dalam misi untuk sebuah badan amal bernama Yayasan Al-Khair di Beit Lahiya, dan diiringi oleh wartawan dan jurugambar ketika serangan itu dilancarkan. Menurut media Palestin, sekurang-kurangnya tiga wartawan tempatan adalah antara yang maut.
Tentera rejim Zionis Israel dalam satu kenyataan mendakwa serangan dilakukan terhadap dua individu yang dikenal pasti sebagai pengganas yang mengendalikan dron yang dikatakan menimbulkan ancaman kepada tentera Israel di kawasan Beit Lahiya.
Menurut kenyataan itu, tentera Israel kemudian menyerang beberapa suspek lain yang dikatakan mengumpul peralatan dron dan memasuki sebuah kenderaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan bagaimana tentera Israel memastikan bahawa individu yang diserang adalah “pengganas” atau memberikan perincian mengenai ancaman yang ditimbulkan dron itu kepada askar rejim Zionis.
Serangan ini menunjukkan kerapuhan perjanjian gencatan senjata 19 Januari lalu yang menghentikan pertempuran skala besar di Semenanjung Gaza. Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, berpuluh-puluh orang terbunuh akibat serangan Israel sepanjang gencatan senjata itu.
Ketua pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas, Salama Marouf, menafikan dakwaan tentera Zionis Israel mengenai serangan itu.
“Mangsa adalah orang awam dan bekerja di kawasan berhampiran tempat perlindungan dalam misi yang ditaja oleh badan amal. Mereka bukan berada di kawasan larangan dan tidak menimbulkan sebarang bahaya kepada tentera penjajah,” katanya dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 16/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!








