Waspada iklan ubat mencurigakan guna suara pakar perubatan terkenal

Waspada iklan ubat mencurigakan guna suara pakar perubatan terkenal

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan akaun TikTok yang mempromosikan produk perubatan menggunakan suara dan video pakar perubatan terkenal tanpa kebenaran.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mendapati akaun TikTok ‘Malaysia Shopping Mall’ mempromosikan produk perubatan menggunakan suara dan video Prof Datuk Dr Noordin Darus.

“Bagaimanapun penggunaan suara dan video itu dilakukan tanpa kebenaran pakar perubatan berkenaan dan dipercayai dilakukan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terhadap promosi produk kesihatan yang mencurigakan serta tidak jelas sumbernya kerana dikhuatiri produk kesihatan yang dijual adalah palsu dan boleh memudaratkan pengguna,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.

Beliau berkata, kecanggihan teknologi AI dilihat menjadi pencetus kepada kewujudan iklan yang memaparkan suara, wajah serta video individu ternama tanpa kebenaran pihak berkenaan dengan tujuan untuk mengelirukan pembeli.

Katanya, JSJK mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai iklan di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top