Waspada taktik penipuan pautan Public Bank – Utusan Digital

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

SHAH ALAM : Seorang wanita kerugian RM17,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan melibatkan pautan daripada Public Bank pada 24 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 malam apabila mangsa berusia 51 tahun dan bekerja di sektor swasta menerima pautan melalui pesanan ringkas.

Menurutnya, pautan itu memaklumkan akaun Public Bank miliknya berisiko tinggi untuk terdedah kepada pihak ketiga.

“Mangsa kemudian bertindak menekan pautan https://pbebankonline.com dan telah mengikut arahan dalam pautan tersebut. Mangsa telah memasukkan data peribadi, maklumat perbankan dalam talian berserta kata laluan yang diminta.

“Setelah mangsa membuat semakan ke atas akaun miliknya, dia mendapati wang RM17,000 dalam akaunnya telah lesap sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Yazid memberitahu, siasatan yang dijalankan mendapati, terdapat satu lagi kes yang sama telah dilaporkan di negeri itu menggunakan modus operandi yang sama melibatkan kerugian sebanyak RM16,500 pada 21 Mac lalu menjadikan jumlah kerugian setakat ini adalah sebanyak RM33,500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE