UTM ambil tindakan segera ralat PTPTN penuntut – Utusan Digital

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengambil langkah segera berhubung isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) yang melibatkan penuntut mereka, baru-baru ini.

UTM dalam satu kenyataan memberitahu, Jabatan Bendahari akan membuat semakan dan mengembalikan semula wang lebihan kepada penuntut dalam tempoh terdekat.

Menurut kenyataan itu, pemulangan wang itu akan dibuat setelah pihak universiti mendapat maklumat potongan daripada Bank Islam.

“Penuntut dijangka mendapat semula baki tersebut dalam masa terdekat, dijangka Isnin minggu hadapan.

“Terdahulu, pembiayaan pinjaman PTPTN bagi kelompok pertama semester dua telah didepositkan ke akaun Bank Islam penuntut pada 23 Mac lalu.

“Namun terdapat ralat ke atas data potongan yuran yang dibuat di mana terdapat sebahagian penuntut telah dibuat potongan secara maksimum daripada jumlah pembiayaan pinjaman dan hanya baki RM100 yang didepositkan ke akaun Bank Islam mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, segelintir penuntut universiti awam itu meluahkan perasaan tidak berpuas hati mereka dengan pengurusan UTM berhubung perkara demikian di laman media sosial.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak UTM telah mengambil langkah membuat semakan dan proses pemulangan akan dibuat dengan kadar segera ke akaun bank penuntut terlibat.

“Oleh itu, penuntut yang terkesan daripada ralat potongan yuran ini, diminta untuk mengisi ‘google form’ yang disediakan untuk semakan dan tindakan lanjut pihak UTM.

“Sebarang pertanyaan, mohon hantarkan emel ke, [email protected]; [email protected]; nurm[email protected] atau ke [email protected],” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE