am@hmetro.com.my
Jasin: Perikatan Nasional (PN) mahu mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, kata Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, sekiranya UMNO mahu mempertahankan kerusi yang dimenanginya, prinsip sama juga perlu diberikan kepada WAWASAN.
“Kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) atau bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Melaka itu adalah ahli WAWASAN.
“Jadi kalau konsepnya UMNO kata dia nak mempertahankan kerusi yang mereka menang, pasal apa pula dia tak nak bagi saya mempertahankan kerusi untuk kita menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi WAWASAN di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung WAWASAN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, pihaknya terbuka untuk membincangkan pertukaran kerusi sekiranya BN mempunyai kerusi yang mahu ditandingi WAWASAN.
“Kalau dia nak kerusi mana satulah contohnya, boleh, tetapi saya maklumkan kita nak pertahankan kerusi kita.
“Kalau mereka nak, kenalah duduk dengan kita untuk kita bincangkan kerusi yang sesuai. Kerusi yang boleh menentukan kemenangan sama ada di pihak PN ataupun BN,” katanya.
Mengulas spekulasi WAWASAN hanya akan bertanding satu kerusi DUN di Melaka iaitu DUN Paya Rumput, Hamzah menyifatkannya sebagai spekulasi tanpa mengesahkan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi parti itu.
“Keputusan lanjut mengenai penyertaan parti ini dalam PRN Melaka akan dimaklumkan selepas keputusan mahkamah pada 22 Oktober ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan desas-desus WAWASAN hampir pasti diberikan satu kerusi iaitu DUN Paya Rumput dengan Ketua Penaja WAWASAN Bahagian Tangga Batu, Ramlan Meon, 40, disebut-sebut sebagai calon berpotensi.
Menurut laporan itu, perkembangan berkenaan boleh menjejaskan peluang dua bekas ADUN, Dr Mohd Aleef Yusof dan Dr Mohd Yadzil Yaakub, yang masing-masing memenangi kerusi Sungai Udang dan Bemban atas tiket PN pada PRN 2021 sebelum meninggalkan BERSATU dan menyertai WAWASAN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




