SHAH ALAM – Berbeza kaum, bahasa dan budaya, namun apabila duduk semeja menikmati makanan, perbezaan itu seakan-akan hilang.
Makanan menjadi antara ‘bahasa’ paling mudah difahami rakyat Malaysia dan mampu menemukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam satu pengalaman yang dikongsi bersama.
Hakikat itu diketengahkan West Coast Expressway (WCE) sempena Hari Malaysia 2026 menerusi pendekatan yang mengangkat perpaduan dalam kepelbagaian dan kecintaan rakyat terhadap makanan sebagai warisan bersama.
Menurut WCE, warisan kulinari negara sejak sekian lama merentasi batas kaum, usia dan latar belakang.
“Sebuah meja makan mampu menemukan mereka yang mungkin berbeza bahasa, tradisi dan pengalaman, tetapi tetap memahami satu perkara yang sama – makna menjadi rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
WCE berkata, mesej berkenaan merupakan sebahagian daripada dua komunikasi khas yang diketengahkan sempena sambutan Hari Malaysia.
Komunikasi pertama membawa mesej ‘Kepelbagaian mencorakkan identiti kita. Perpaduan menguatkan kita’ dengan meraikan kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan rakyat Malaysia.
Komunikasi kedua pula membawa nilai perpaduan itu lebih dekat dengan kehidupan seharian menerusi makanan sebagai penghubung sejagat.
Menurut WCE, pendekatan berkenaan selari dengan aspirasi ‘We Connect Everyone’ yang melihat peranan lebuh raya bukan sekadar menghubungkan satu tempat dengan tempat lain.
“Jalan raya menghubungkan manusia dengan keluarga, komuniti dengan peluang, perniagaan dengan pasaran dan pengembara dengan budaya serta pengalaman unik di sepanjang perjalanan,” katanya.
WCE merupakan lebuh raya antara negeri sepanjang 233 kilometer yang menghubungkan Banting, Selangor dengan Taiping Selatan, Perak.
Menurut WCE, kesalinghubungan bukan sahaja melibatkan infrastruktur fizikal malah turut merangkumi hubungan antara manusia, komuniti, kegiatan ekonomi dan pengalaman sepanjang perjalanan.
“Lebuh raya mungkin menghubungkan tempat, tetapi perjalanan yang paling bermakna adalah mengenai insan di kedua-dua penghujung perjalanan tersebut,” katanya.