sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menampilkan aksi penuh semangat apabila berjaya melunaskan dendam ke atas pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana sekali gus melangkah ke suku akhir Terbuka Hylo, malam ini.
Pasangan ranking kelima dunia itu mencatat kemenangan dramatik dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 52 minit, menumpaskan lawan 21-9, 17-21, 22-20 pada pusingan kedua di Arena Tertutup Saarlandhalle, Saarbrucken, Jerman.
Wei Chong-Kai Wun bermula garang dengan kemenangan meyakinkan pada set pertama, namun gagal mengekalkan momentum apabila tewas di set kedua, membenarkan gandingan Indonesia itu mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga berlangsung penuh debaran, terutama di hujung permainan apabila pasangan negara yang mendahului 19-17 dikejar hingga kedudukan terikat 19-19 sebelum lawan mendahului satu mata.
Bagaimanapun, ketenangan dan fokus tinggi membolehkan Wei Chong-Kai Wun menyamakan kedudukan 20-20 sebelum menutup aksi dengan kemenangan 22-20.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan mereka selepas tewas kepada Leo-Bagas pada pusingan kedua Masters China, bulan lalu.
Namun cabaran lebih besar menanti apabila mereka dijangka berdepan satu lagi gandingan Indonesia yang kini berada pada prestasi terbaik, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang juga naib juara Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, bagi perebutan tempat ke separuh akhir esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




