Wilayah Persekutuan rampas emas skuasy lelaki

Wilayah Persekutuan rampas emas skuasy lelaki

helmi.talkah@bh.com.my

Kuching: Wilayah Persekutuan kembali merampas pingat emas skuasy perseorangan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) selepas Jaochim Chuah mengungguli aksi final edisi 2024 di Sarawak, hari ini.

Joachim yang membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu cemerlang apabila menewaskan wakil Negeri Sembilan, C Ameeshenraj 3-2 pada aksi di Pusat Skuasy Sarawak di sini.

Aksi final berlangsung penuh mendebarkan yang menyaksikan Jaochim menang set pertama 11-4 tetapi Ameeshenraj bangkit memenangi set kedua dan ketiga 11-8, 11-7.

Bagaimanapun, Joachim tidak menyerah kalah apabila dia bangkit menang set keempat 11-9 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Ketika Ameeshenraj di ambang untuk merangkul emas apabila mendahului 10-8 di set kelima, Joachim mempamerkan ‘magisnya’ apabila berjaya mengikat kedudukan 10-10 sebelum mengesahkan kemenangan dengan keputusan 13-11.

“Ia perlawanan yang menakjubkan. Saya ketinggalan 2-1 dan hampir kalah di set keempat dan kelima tetapi berjaya bangkit untuk memenanginya.

“Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk Sukma ini, saya hanya mahu buat yang terbaik. Namun, saya gembira dapat memenangi emas,” kata Joachim ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Ia adalah pingat emas pertama Wilayah Persekutuan dalam acara perseorangan lelaki sejak kali terakhir memenanginya menerusi jaguh negara, Ng Eain Yow pada edisi 2018 di Perak.

Edisi 2020 tidak diadakan kerana Covid-19 tetapi emas perseorangan lelaki menjadi milik atlet Kedah Ong Sai Hung pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.

Pingat gangsa acara itu kali ini dimenangi pemain Perak, Low Wa Sern yang menundukkan Muhammad Amir Amirul Azhar dari Kelantan 3-0 (11-4, 11-8, 12-10) dalam aksi penentuan gangsa.

Dalam pada itu, Joachim, berkata dia akan mengalihkan fokus dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya, Sam Yong Juin Xian.

“Sudah tentu kami menyasarkan untuk memenangi emas dalam beregu tetapi kami tidak boleh terlalu yakin kerana saya jangkakan persaingannya sengit,” katanya.

Pada Sukma 2022, emas beregu lelaki dimenangi gandingan Kelantan Wee Ming Hock-Muhammad Amir Amirul Azhar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top