London: Williams mungkin menjadi pasukan paling meningkat naik apabila musim Formula Satu (F1) 2025 membuka tirai di Melbourne minggu depan, namun fokus utama bekas juara dunia itu tetap terarah kepada revolusi enjin dan casis pada 2026.
Perubahan besar dalam peraturan teknikal pada 2026 dijangka menggoncang kedudukan hierarki di paddock, memaksa setiap pasukan untuk menentukan bila mereka harus menghentikan pembangunan kereta 2024 dan beralih sepenuhnya kepada persiapan masa depan.
Bagi pasukan seperti Williams, yang menamatkan musim lalu di tempat kesembilan daripada 10 pasukan, keputusan untuk memberi tumpuan awal kepada 2026 boleh menjadi kunci kepada kebangkitan mereka.
“Saya sudah jelas dari awal bahawa 2026 adalah tahun yang perlu kami beri keutamaan dan itu akan memberi kesan kepada 2025,” kata Prinsipal Williams, James Vowles, pada pelancaran kereta mereka bulan lalu.
“Pada 2 Januari, tarikh pertama yang sah, kami sudah mula menguji kereta 2026 di terowong angin.”
Williams mengejutkan ramai pihak apabila mencatat masa terpantas dalam ujian pramusim di Bahrain minggu lalu menerusi pemandu baharu mereka, Carlos Sainz, sekali gus menimbulkan spekulasi mereka mampu bersaing dalam kelompok lima terbaik.
Namun, Vowles meredakan jangkaan itu dan sudah pun memberi amaran kepada Sainz serta rakan sepasukan, Alex Albon, bahawa 2025 akan tetap menjadi tahun sukar sebelum mereka menuai hasil dalam musim-musim berikutnya.
Sama seperti Williams, pasukan pertengahan lain juga dijangka mengumpul mata secepat mungkin sebelum mengalihkan fokus kepada 2026.
“Beberapa bahagian dalam operasi kami sudah 100 peratus tertumpu kepada 2026 kerana dari sudut kejuruteraan konsep, 2025 dianggap sudah selesai,” kata Ketua Pasukan Aston Martin, Andy Cowell.
McLaren, yang muncul pasukan paling dominan dalam ujian pramusim, memilih pendekatan berbeza apabila bos mereka, Andrea Stella, mengesahkan mereka masih akan membawa naik taraf pada awal musim ini.
Ferrari juga belum membuat keputusan muktamad, dengan Prinsipal Fred Vasseur menegaskan mereka akan menilai situasi selepas empat atau lima perlumbaan pertama.
“Kalau anda ketinggalan satu saat di belakang, tiada gunanya meneruskan pembangunan. Jika anda satu saat di hadapan, anda boleh mula fokus pada 2026,” katanya.
“Namun, saya rasa kedua-dua situasi ini tidak realistik. Musim ini bakal menyaksikan empat pasukan yang berpeluang menang perlumbaan dan memburu kejuaraan.”
Pandangan itu turut disokong pemandu Mercedes, George Russell.
“Siapa yang terus membangunkan kereta musim ini mungkin akan menjadi juara, tetapi mereka akan membayarnya pada 2026,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




