London: Prinsipal Mercedes, Toto Wolff menggesa Formula Satu (F1) mengambil pendekatan lebih teliti dalam melakukan perubahan peraturan, berbanding rombakan besar-besaran yang boleh memberi kesan tidak dijangka.
Menurut beliau, perbincangan antara pelumba, badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), pihak F1 serta pasukan setakat ini berjalan secara konstruktif menjelang perlumbaan seterusnya di Miami, Mei ini.
“Kita semua berkongsi matlamat sama iaitu menambah baik perlumbaan dan aspek keselamatan, tetapi perubahan perlu dibuat secara ‘pembedahan halus’, bukan secara drastik,” katanya.
Wolff berkata, sukan itu juga perlu belajar daripada kesilapan lalu apabila perubahan dibuat secara tergesa-gesa sehingga memberi kesan negatif.
Dalam masa sama, Mercedes tampil dominan apabila memenangi ketiga-tiga perlumbaan awal musim, termasuk dua kemenangan satu-dua.
Pelumba muda Itali, Kimi Antonelli kini mendahului kedudukan keseluruhan, mengatasi rakan sepasukan George Russell.
Sementara itu, juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull dilaporkan tidak berpuas hati dengan peraturan baharu yang disifatkan mempunyai kelemahan asas.
Peraturan baharu menyaksikan unit kuasa dibahagikan hampir seimbang antara tenaga elektrik dan pembakaran dalaman, sekali gus memaksa pelumba mengurus penggunaan tenaga ketika perlumbaan.
Selain itu, pelumba turut membangkitkan kebimbangan aspek keselamatan susulan perbezaan kelajuan ketara antara jentera yang menggunakan rangsangan elektrik dan yang memperlahankan kenderaan untuk mengecas semula.
Wolff bagaimanapun kekal optimis pendekatan semasa mampu menghasilkan penyelesaian terbaik, sambil mengingatkan semua pihak supaya tidak merosakkan imej sukan itu dengan kritikan terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




