Woods sambung pemulihan di rumah

Woods sambung pemulihan di rumah

Los Angeles: Tiger Woods berkata dia kini menjalani rawatan pemulihan di rumah selepas terbabit kemalangan di Los Angeles bulan lalu.

Dalam kenyataannya di media sosial, bintang golf itu berterima kasih kepada pihak hospital yang menjaganya sebelum ini susulan mengalami kecederaan serius dalam nahas jalan raya pada 23 Februari lalu.

“Saya gembira beritahu yang saya kini kembali ke rumah dan meneruskan proses pemulihan,” kata Woods. “Saya bersyukur di atas sokongan semua orang yang memberi semangat kepada saya sejak beberapa minggu lalu.”

“Terima kasih kepada pakar bedah, doktor, jururawat dan petugas Harbor-UCLA Medical Center dan Cedars-Sinai Medical Center. Anda semua menjaga saya dengan penuh dedikasi dan jasa anda tak mungkin saya lupakan. Saya akan teruskan pemulihan lanjut di rumah dan berharap semakin kuat dari semasa ke semasa.”

Woods mengalami kecederaan serius apabila keretanya terbabas dan terbalik beberapa kali ketika nahas bulan lalu.

Juara kejohanan utama 15 kali berusia 45 tahun itu menjalani pembedahan di bahagian kaki kanan dan buku lali.

Woods berdepan proses pemulihan yang panjang akibat kecederaan itu dan mencetuskan persoalan mengenai masa depan karier gemilangnya termasuk 82 kejuaraan jelajah.

Woods sebelum ini baru sahaja pulih daripada pembedahan kelima dan berharap dapat mempersiapkan diri untuk Masters pada April depan ketika nahas berlaku.

Scroll to Top