New York: Legenda golf, Tiger Woods, meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-50 dengan sebuah majlis mewah yang dihadiri selebriti, selain persembahan peribadi oleh ikon rock, Jon Bon Jovi.
Woods sebelum ini menyambut detik bersejarah itu pada penghujung Disember secara sederhana tanpa perhatian besar.
Namun, pemenang 15 gelaran kejohanan utama itu tampil dengan sambutan berskala besar pada Rabu menerusi majlis bertemakan merah, yang turut meraikan ulang tahun ke-30 yayasan kebajikannya, TGR Foundation.
Woods bersama teman wanitanya, Vanessa Trump, 48, menjadi tuan rumah kepada kira-kira 300 tetamu kenamaan di The Breakers Hotel, yang terletak di kawasan elit Palm Beach, Florida.
Turut hadir pada malam itu ialah anak perempuan Vanessa yang juga protege golfnya, Kai Trump, 18 tahun.
Vanessa, bekas isteri kepada Donald Trump Jr., mengenakan gaun hitam ketat dengan rekaan korset bertali di bahagian belakang, menyerlahkan suasana glamor majlis berkenaan.
Kai pula tampil bergaya dengan gaun sutera merah labuh berpotongan unik, selain memakai balutan pada lengan kirinya.
Dia sebelum ini memaklumkan menerusi Instagram bahawa dirinya menjalani pembedahan pergelangan tangan.
Tetamu dihiburkan dengan persembahan Jon Bon Jovi yang mendendangkan beberapa lagu klasik sepanjang zaman seperti Lost Highway, Livin’ on a Prayer, It’s My Life dan You Give Love a Bad Name.
Penyanyi legenda itu berkata: “Saya sering terbabit dalam banyak majlis kutipan dana besar bersama Tiger, termasuk di kediaman persendirian, dan kami sangat gembira dapat berada di sini malam ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




