Wujud siasatan bebas pendedahan KPN kartel PDRM

KUALA LUMPUR – Bekas Senator Dewan Negara, Khairul Azwan Harun menggesa Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan bebas terhadap pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa wujudnya kumpulan kartel untuk menjatuhkan beliau.

Khairul Azwan menegaskan, pendedahan Abdul Hamid wujudnya gerakan dalam kalangan polis muda cuba menjatuhkan kedudukannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh dipandang remeh apatah lagi melibatkan pasukan keselamatan negara.

“Kenyataan KPN ini perlu disusuli dengan siasatan bebas yang telus. Kenyataan ini sangat membimbangkan.

“Institusi kepolisan negara dilakar imej sebegini oleh ketuanya sendiri tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan dan rakyat,” katanya ketika menciap di Twitter miliknya, hari ini.

Khamis lalu Abdul Hamid membuat pendedahan tentang wujudnya dalam kalangan polis muda yang bercita-cita untuk menjatuhkannya dari dalaman.

Menurutnya, gerakan tersebut merupakan golongan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka. – MalaysiaGazette