Tiga juru ukur tanah tak jumpa jalan pulang

Tiga juru ukur tanah tak jumpa jalan pulang

am@hmetro.com.my

Dungun: Tiga juru ukur yang melakukan tugas mengukur tanah sebaliknya tersesat di dalam hutan simpan di Kampung Tok Kah, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Yahaya Hanafi berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa masuk ke kawasan hutan itu untuk melakukan kerja-kerja mengukur tanah pagi semalam.

Menurutnya, mangsa dikenali pasti sebagai Wan Muhamad Haziem Wan Abdullah, 32, berasal dari Pasir Putih, Kelantan. Turut bersamanya adalah Wan Hafizuddin Aiman Wan Zamili, 23, berasal dari Melor, Kelantan dan Muhammad Adam Ruzilan, 22, dari Pasir Putih, Kelantan.

Menurutnya, sebaik selesai melakukan kerja pengukuran, ketiga-tiga mangsa dikatakan tersesat selepas gagal menemui jalan keluar.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.30 malam semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat dilakukan bersama enam anggota bomba termasuk.

“Berdasarkan koordinat dihantar mangsa melalui telefon, pasukan penyelamat kemudiannya masuk ke dalam hutan berkenaan dalam jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi asal,” katanya.

Yahaya berkata, pasukan penyelamat berjaya menjejaki lokasi kehilangan mangsa sebelum berjaya menemui kesemua mangsa sekitar jam 11.30 malam tadi.

“Kesemua mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top