PETALING JAYA: Beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting melepasi halangan pusingan pertama selepas mengetepikan wakil India, Priya Konjengbam-Shruti Mishra pada Kejohanan Badminton Terbuka Macau di Macau, hari ini.
Bagaimanapun, kemenangan itu diraih dengan cara yang sukar apabila pasangan No. 23 dunia itu dipaksa berhempas pulas selama 1 jam 7 minit sebelum berjaya menewaskan Konjengbam-Shruti 20-22, 21-16, 21-12.
Ini merupakan kemenangan ketiga Xin Yee-Carmen yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu ke atas beregu India yang menghuni ranking ke-40 dunia tersebut.
Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Xin Yee-Carmen akan berdepan beregu ke-86 dunia, Chou Yun An-Sung Yi Hsuan dari Taiwan yang menumpaskan beregu Malaysia, Cheng Su Hui-Tan Zhing Yi 21-16, 21-13.
Sementara itu dalam saingan beregu lelaki, seramai empat wakil Malaysia meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Beregu profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong tidak berdepan masalah mengalahkan gandingan Indonesia, Muhammad Putra Erwiansyah-Bagas Maulana 21-14, 21-15 dalam masa 39 minit.
Pilihan pertama yang berada di ranking No. 25 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan rakan senegara, Bong Xin Yuan-Lwi Sheng Hao yang menyingkirkan Bhargav Ram Arigela-Viswa Tej Gobburu dari India 21-16, 21-12 dalam masa 41 minit di pusingan kedua.
Satu lagi gandingan profesional negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong pula menumpaskan wakil Russia, Rodion Alimov-Maksim Ogloblin 21-14, 21-15 dalam masa 30 minit.
Hang Yee-Eng Cheong akan bertemu pilihan kelapan, Wesley Koh-Junsuke Kubo dari Singapura di peringkat seterusnya.
Beregu gabungan dua negara, Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem juga melakar kemenangan setelah menewaskan pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Chen Sheng Fa 21-15, 21-13 dalam masa 32 minit.
Pasangan ke-42 dunia itu akan berdepan sama ada Donavan Willard Wee-Howin Wong dari Singapura atau pencabar dari Taiwan, Cheng Kai Wen-Liu Chiao Yun.
Turut menempah slot ke peringkat 16 terbaik ialah Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang menundukkan Su Ching Heng-Tang Kai Wei juga dari Taiwan 19-21, 21-13, 21-16 dalam masa 57 minit.
Beregu ke-120 dunia itu dijangka menentang sama ada pilihan kedua dari China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi atau wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Lucas Ekarat Wedler di pusingan berikut. – UTUSAN




