XMail FC ucap selamat tinggal

XMail FC ucap selamat tinggal

Kuala Lumpur : Pasukan bola sepak XMail FC atau pernah dikenali Malay Mail FC menamatkan perjalanan mereka dengan cemerlang apabila berjaya mengungguli saingan tiga penjuru yang berlangsung di Padang Bola Sepak Ulu Klang Recreation Club (UKRC), Ampang, Sabtu lalu.

XMail yang dibarisi pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan, Imran Ahmad membuka tirai perlawanan dengan menewaskan Malaysian Bar 1-0 diikuti mengatasi National Press Club 3-1 untuk muncul juara pada saingan itu sekali gus kemenangan terakhir sebelum kelab itu secara rasmi dibubarkan.

Pengurus pasukan dan bekas pengarang sukannya, Tony Mariadass, mengesahkan penutupan kelab berkenaan dan menyifatkan pelbagai memori manis dilalui bersama.

Katanya, kelab dibubarkan berikutan ketiadaan penaja serta menjelaskan beberapa pemain terpaksa menanggung sendiri kos penyertaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita bermula di New Straits Times Press pada tahun 1970-an sebelum berkembang menjadi Malay Mail FC, naik dari Liga Dunhill Kuala Lumpur ke pentas kebangsaan.

“Pernah mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan City Hall yang dibarisi pemain bintang untuk menjuarai Liga Dunhill KL pada tahun 1990, selain mara ke final Piala Antarabangsa Filipina menentang Taiwan setahun kemudian.

“Pada tahun 2000, Malay Mail FC mencipta sejarah sebagai kelab pertama dari Lembah Klang yang beraksi dalam Liga-M Divisyen Dua. Malah lebih 200 pemain pernah mewakili kelab sejak ia ditubuhkan,” katanya.

Tony turut mengakui perlawanan itu bukan sekadar aksi bola sepak, sebaliknya satu pertemuan semula persaudaraan yang terjalin sejak sekian lama antara pasukan dan peminat sukan nombor satu di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top