Yamal berpotensi sertai kelompok elit dunia

Yamal berpotensi sertai kelompok elit dunia

East Rutherford: Lionel Messi bakal muncul sebagai pemain tertua beraksi dalam final Piala Dunia apabila mengetuai Argentina menentang Sepanyol, awal pagi Isnin ini, manakala Lamine Yamal pula berpeluang menyertai kelompok eksklusif pemain yang muncul juara dunia ketika masih remaja.

Perlawanan di Stadium MetLife itu turut menjadi pertemuan pertama antara Messi dengan Yamal, pemain yang dianggap pewaris baharu legenda Argentina itu di Barcelona.

Satu-satunya pemain yang pernah beraksi dalam final Piala Dunia pada usia lebih tua daripada Messi ialah penjaga gol Itali, Dino Zoff yang berusia 40 tahun ketika final edisi 1982.

Berbeza dengan Messi, Yamal baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pada Isnin lalu, sehari sebelum membantu Sepanyol menewaskan Perancis 2-0 pada aksi separuh akhir.

Perkembangan karier Yamal berlaku begitu pantas apabila dia membuat penampilan sulung bersama Barcelona pada usia 15 tahun.

Dia kemudian melakukan penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Sepanyol ketika berusia 16 tahun dan membantu La Roja menjuarai Euro 2024 sejurus selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-17, selain dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik kejohanan itu.

Yamal turut muncul naib juara Anugerah Ballon d’Or tahun lalu di belakang Ousmane Dembele dan kini berpeluang menyertai kelompok kecil pemain yang pernah memenangi Piala Dunia ketika masih remaja.

“Dia adalah ikon global pada usia 19 tahun dan berpeluang melakukan sesuatu yang bersejarah, tetapi kami akan melakukan segala-galanya untuk menghalangnya,” kata Messi.

Yamal sebelum ini dibelenggu kecederaan menjelang Piala Dunia sehingga timbul keraguan sama ada dia mampu beraksi selepas terlepas beberapa aksi terakhir bersama Barcelona.

“Saya bimbang kecederaan itu serius dan paling saya takut ialah jika berlaku kemunduran yang menyebabkan saya terlepas Piala Dunia,” kata Yamal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top