Tiga silinder penuh adrenalina

Tiga silinder penuh adrenalina

Lizam Ridzuan

lizamridzuan@hmetro.com.my

TIDAK keterlaluan jika dikatakan Toyota GR Corolla menjadi antara model ‘underated’ dalam kalangan peminat jentera prestasi di Malaysia dan sejak diperkenalkan dengan transmisi manual enam kelajuan, model itu ia adalah sebuah hatchback lima pintu yang mampu menawarkan pengalaman pemanduan mengujakan dengan DNA sukan permotoran cukup kuat.

Kini, UMWT Motor memperkenalkan Toyota GR Corolla Automatic, sekali gus membuka lembaran baharu buat model berprestasi tinggi di bawah divisyen Gazoo Racing (GR) itu.

Kehadiran transmisi automatik bukan bermakna ia mengorbankan keseronokan memandu, sebaliknya menjadikan model ini lebih mudah dinikmati tanpa menghilangkan karakter asalnya, malah boleh dipandu sesiapa sahaja bagi kegunaan harian.

Apa yang membezakan GR Corolla Automatic ialah penggunaan GR Direct Automatic Transmission (DAT) lapan kelajuan iaitu transmisi yang dibangunkan khusus untuk model prestasi.

Berbeza dengan transmisi automatik konvensional, sistem ini mampu membaca input pedal pendikit, daya membrek serta daya G ketika mengambil selekoh sebelum memilih gear paling sesuai bagi memastikan penghantaran kuasa sentiasa berada pada tahap optimum.

Dari sudut penampilan, GR Corolla masih mengekalkan identiti sebuah hot hatch yang garang. Bahagian hadapan didominasi gril hitam bersaiz besar yang bukan sahaja menyerlahkan imej agresif, malah membantu menyalurkan udara ke radiator, intercooler dan sistem penyejukan brek ketika dipandu dalam keadaan ekstrem.

Rekaan bampar hadapan dengan tiga bukaan udara utama dipadankan bersama fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, menjadikan keseluruhan badan kelihatan lebih tegap.

Selain meningkatkan elemen visual, reka bentuk itu turut membantu memperbaiki aliran udara serta kestabilan pada kelajuan tinggi.

Di bahagian belakang, spoiler bumbung bersaiz besar, diffuser serta sistem ekzos tiga muncung menjadi identiti utama GR Corolla.

Model ini menggunakan rim aloi tempa bersaiz 18 inci yang dipadankan dengan tayar prestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 235/40 R18.

Masuk ke ruang kabin, suasana sporty jelas terasa. Tempat duduk hadapan jenis sports menawarkan sokongan sisi yang baik ketika mengambil selekoh, manakala kedudukan pemanduan yang rendah memberikan rasa seolah-olah berada di kokpit sebuah jentera rali.

Stereng tiga jejari dibalut kulit bersama logo Gazoo Racing memberikan cengkaman yang kemas, sementara paddle shifter di belakang stereng membolehkan pertukaran gear dilakukan secara manual tanpa perlu melepaskan tangan daripada stereng.

Paparan meter digital bersaiz 12.3 inci direka khusus untuk model GR dengan memaparkan pelbagai maklumat prestasi seperti tekanan turbo, suhu enjin, agihan tork sistem GR-FOUR serta kedudukan gear. Paparan itu turut berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Di bahagian tengah papan pemuka, sistem infotainmen Toyota Audio Multimedia bersaiz lapan inci menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Antara mukanya mudah digunakan selain menawarkan fungsi kamera undur dan pelbagai tetapan kenderaan.

Ruang tempat duduk belakang cukup selesa untuk dua penumpang dewasa, manakala ruang simpanan belakang memadai bagi kegunaan harian atau perjalanan hujung minggu.

Aspek keselamatan turut diberikan perhatian menerusi pakej Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran, Kawalan Jelajah Radar Dinamik, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Pengesanan Lorong, Lampu Tinggi Automatik serta Bantuan Pemanduan Proaktif.

Model ini turut dilengkapi Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), kamera undur serta tujuh beg udara bagi meningkatkan tahap keselamatan pemandu dan penumpang.

Nadi kepada GR Corolla ialah enjin G16E-GTS, tiga silinder 1.6 liter turbo yang dibangunkan menggunakan teknologi daripada program sukan permotoran Toyota Gazoo Racing.

Ia menghasilkan kuasa 300 PS pada 6,500 rpm dan tork 400 Nm antara 3,250 hingga 4,600 rpm, sekali gus menjadikannya antara enjin tiga silinder paling berkuasa di pasaran.

Kuasa itu disalurkan ke keempat-empat roda menerusi sistem GR-FOUR All-Wheel Drive yang menawarkan tiga tetapan agihan tork iaitu 60:40 (Normal), 30:70 (Sport) dan 50:50 (Track).

Sepanjang sesi pandu uji, perkara paling menyerlah pada pandangan penulis ialah prestasi transmisi GR Direct Automatic Transmission (DAT). Dalam mod Normal, pertukaran gear berlaku dengan lancar dan hampir tidak dirasai, menjadikan GR Corolla selesa dipandu dalam kesesakan trafik bandar.

Namun, sebaik mod Sport dipilih, karakternya berubah sepenuhnya. Transmisi mengekalkan gear lebih lama sebelum menukar ke gear seterusnya, manakala setiap downshift dilakukan dengan pantas dan tepat, memberikan respons lebih agresif setiap kali pendikit dipijak.

Deruman garau daripada sistem ekzos tiga muncung menjadi peneman setiap kali pendikit dipijak, manakala sesekali desiran halus turbo menyapa telinga ketika transmisi menukar gear atau pedal minyak dilepaskan.

Gabungan kedua-dua bunyi itu menghasilkan karakter sebuah jentera prestasi yang cukup mengasyikkan, sekali gus menambahkan kepuasan setiap kali berada di belakang stereng.

Kesimpulannya, Toyota GR Corolla Automatic bukan sekadar menawarkan pilihan transmisi baharu, malah berjaya mengekalkan DNA sebuah hot hatch tulen yang dibangunkan berinspirasikan sukan permotoran.

Gabungan enjin 1.6 liter turbo tiga silinder berkuasa 300 PS dan 400 Nm tork, transmisi DAT lapan kelajuan, sistem pacuan semua roda GR-FOUR, talaan casis yang mantap serta karakter bunyi ekzos dan turbo yang mengasyikkan menjadikan model ini bukan sahaja menyeronokkan dipandu di jalan berliku, malah cukup praktikal untuk kegunaan harian.

Ditawarkan pada harga bermula RM367,000 (atas jalan tanpa insurans), GR Corolla Automatic menawarkan alternatif menarik kepada mereka yang mahukan sebuah jentera berprestasi tinggi dengan keseimbangan antara keseronokan pemanduan dan keselesaan penggunaan harian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top