Sultan Selangor, Tengku Permaisuri zahir ucapan Selamat Menyambut Deepavali

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri zahir ucapan Selamat Menyambut Deepavali

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu, khususnya di Selangor.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda turut menzahirkan harapan agar sambutan perayaan terus menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Semangat saling menghormati, kunjung-mengunjung dan berkongsi kegembiraan hendaklah terus disuburkan demi mempererat ikatan persaudaraan sesama rakyat,” menurut hantaran berkenaan.

Sultan Sharafuddin bertitah persefahaman dan toleransi yang teguh seperti yang dipamerkan semasa sambutan pelbagai musim perayaan di dalam negara adalah perisai penting untuk menangkis pengaruh luar, khususnya di media sosial yang cuba menyemai kebencian, mencetuskan perpecahan serta mengganggu-gugat keamanan negara.

“Semoga sambutan Deepavali ini membawa kebahagiaan dan kesejahteraan, serta memperkukuh tekad seluruh rakyat untuk bersama-sama memelihara keharmonian Malaysia,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan sama kepada masyarakat beragama Hindu, khususnya di negeri Pahang.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, baginda berdua berharap agar perayaan Deepavali disambut dalam suasana penuh kegembiraan, keharmonian dan kebahagiaan bersama keluarga serta insan tersayang.

“Baginda berdua turut berharap agar sambutan perayaan itu terus menjadi wadah untuk memperkukuh semangat perpaduan, saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu memaklumkan kepelbagaian budaya dan kepercayaan adalah kekuatan yang perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan agar seluruh rakyat dapat terus hidup dalam penuh kesejahteraan, kebahagiaan dan kemakmuran serta aman dan harmoni.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top