Gardenia siasat aduan pengguna, jamin tiada perubahan resipi produk

Gardenia siasat aduan pengguna, jamin tiada perubahan resipi produk

Kuala Lumpur: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) memandang serius setiap laporan yang diterima berhubung produk keluaran syarikat berkenaan.

Gardenia KL dalam kenyataan berkata, pihak syarikat mengambil maklum mengenai kebimbangan yang dibangkitkan di media sosial berhubung produk mereka.

Malah, katanya, Gardenia KL turut prihatin terhadap kesejahteraan pengguna serta keluarga yang terbabit.

“Wakil kami sudah bertemu dengan pengguna berkenaan untuk memahami dengan lebih jelas kejadian yang dilaporkan serta mendapatkan maklumat lanjut.

“Produk berkaitan juga sudah diambil untuk pemeriksaan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Menurut Gardenia KL, jabatan berkaitan sedang meneliti maklumat yang tersedia, rekod pengeluaran serta kawalan kualiti bagi mengenal pasti fakta sebenar dan menentukan tindakan susulan yang sewajarnya.

Katanya, syarikat juga ingin memberi jaminan kepada pengguna bahawa tiada perubahan dibuat terhadap resipi atau formulasi produk kami dan prosedur keselamatan makanan serta kawalan kualiti yang ditetapkan terus dilaksanakan.

“Gardenia KL komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan KKM) dalam sebarang siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan di kilang kami.

“Kami kekal komited dalam menyediakan produk yang selamat dan berkualiti tinggi kepada pengguna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top