Kuala Lumpur: Sudah sampai masanya kerajaan mengaktifkan kempen memerangi ceti haram atau along secara menyeluruh bagi mengelakkan lebih ramai terjerumus dengan hutang tanpa batasan.
Pengarah Biro Aduan dan Banteras Ceti Haram (Banteras) PANJI Malaysia, Azman Kang Abdullah berkata, langkah tegas serta penyelesaian konkrit amat penting memandangkan isu ceti haram masih berlarutan dan tidak berkesudahan sejak berpuluh tahun lalu.
Katanya, isu berkaitan along ini memasuki fasa baharu apabila fasa pinjaman kini beralih kepada merekrut pengutip hutang dengan menjadikan individu yang sanggup bersekongkol sebagai mangsa.
“Isu faedah yang tidak masuk akal pun masih belum selesai, kini datang pula masalah ada pihak ketiga sanggup mengambil upah untuk mengutip hutang, menyimbah cat dan mengugut peminjam.
“Ini seperti episod baharu yang lahir daripada gejala along yang tidak berkesudahan. dan semakin membarah,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas kes suami isteri masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada rumah mangsa sindiket along, baru-baru ini.
Azman berkata, sebelum ini terdapat kes seorang buruh mengaku bersalah menjadi orang suruhan peminjam along dan ia seakan-akan menjadi satu trend untuk kegiatan haram itu.
“Sebelum ini BANTERAS ada mencadangkan agar kerajaan dapat menyediakan peruntukan dana khas atau skim kemudahan mikro kredit menerusi agensi sedia ada seperti TEKUN Nasional atau institusi kewangan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan saluran pinjaman rasmi.
“Sudah sampai masanya isu ini dibanteras hingga ke akar umbi. Jika dibiarkan, semakin ramai akan menjadi mangsa. Yang meminjam sudah tentu merana, yang bekerja dengan along juga akan sengsara,” katanya. hingga ke akar umbi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




