mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi rock Yantzen Juniwan, 68, memaklumkan dia kini sedang mencari dana untuk pembinaan surau di Kampung Sungai Long, Batu 13, Jalan Kuari, Hulu Langat.
Yantzen berkata, sejak mendiami kawasan perumahan terbabit sekitar 10 tahun lalu, lokasi itu belum mempunyai surau untuk kegunaan penduduk setempat.
“Sekarang terdapat satu kawasan tanah kosong berkeluasan 35 kaki X 65 kaki berdekatan rumah saya yang digazetkan untuk didirikan surau bagi kegunaan penduduk.
“Berita ini disambut baik oleh semua kami kerana kami sudah lama menunggu khabar baik ini, bagaimanapun kami memerlukan dana kewangan untuk membangunkan surau itu secepat mungkin.
“Jadi ia mendorong saya untuk sama-sama mencari dana. Saya memohon agar mereka yang mempunyai kemampuan untuk membantu merealisasikan perkara ini,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pihaknya menganggarkan kos pembinaan surau berkenaan dianggarkan sekitar RM150,000.
“Berapa sumbangan itu tak kisah, tapi saya nasihatkan penyumbang agar sertakan nama sebenar bila buat sumbangan.
“Janganlah hanya letakkan nama ‘Hamba Allah’. Lebih manis jika gunakan nama sebenar mereka. Jika nak infaq jumlah RM150,000 pun boleh,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun RHB 26209000031671 atas nama Persatuan Penduduk Kampung Sungai Long.
© New Straits Times Press (M) Bhd




