Yayasan Bank Rakyat terima pengiktirafan

Yayasan Bank Rakyat terima pengiktirafan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) diiktiraf menerusi Anugerah Kecemerlangan bagi kategori Organisasi Bukan Berkeuntungan pada Majlis Anugerah Perniagaan Kebangsaan Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin berkata, pengiktirafan yang julung kali diterima itu atas inisiatif pihaknya dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat kurang bernasib baik melalui pendidikan dan program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang tahun.

“Anugerah ini antara pencapaian tertinggi yang diterima sepanjang penubuhan YBR, dalam memupuk pembangunan sosioekonomi jangka panjang termasuk merangka program khas bagi membantu masyarakat memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pengiktirafan ini juga bukti dedikasi YBR dalam memperkasakan masyarakat serta kekal komited berbakti dalam membantu memacu negara ke peringkat seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau mewakili YBR menerima penganugerahan berkenaan dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Khairul Na’im berkata, YBR akan terus berusaha dalam menyokong kemajuan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui pendidikan.

Katanya, YBR turut berterima kasih kepada semua pihak terbabit secara langsung atau tidak langsung yang menjadi sebahagian daripada kejayaan itu.

Untuk rekod sepanjang tahun lalu, YBR membelanjakan sebanyak RM41 juta untuk penajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada 424 pelajar Institut Pengajian Tinggi.

YBR juga melaksanakan 933 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 185,000 penerima, dalam tempoh sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top