harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan lima Inisiatif Pendidikan LTAT 2025 sebagai langkah memperkukuhkan ekosistem pendidikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khed Nordin berkata, inisiatif itu adalah iltizam berterusan dalam memperkasa pendidikan, kemahiran dan kebajikan anak-anak serta keluarga warga ATM.
“Inisiatif pertama adalah Program e-Perkasa SPM 2025 yang juga kesinambungan daripada Program e-Perkasa SPM 2024.
“Program ini adalah hasil kerjasama antara Yayasan LTAT bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan seramai 652 pelajar dari kalangan anak-anak ATM yang bersekolah di luar kem,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Lima Program Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut mengadakan Program Sentuhan Elit SPM yang membabitkan 658 pelajar terpilih dari enam Sekolah Dalam Kem (SDK) sebagai penerima manfaat daripada program ini.
“Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) yang memperluaskan inisiatif pendidikan dan kemahiran di peringkat tertiary kepada warga ATM termasuk ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anak-anak ATM.
“Selain itu, anak-anak anggota tentera yang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian MARA di dalam bidang TVET dan setaraf akan menerima tajaan yuran tidak melebihi RM3,000 seorang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




