Kuala Lumpur : Yayasan Pahang (YP) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan pemenang kategori Anti-Rasuah pada UNGC Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026, baru-baru ini.
Pencapaian itu membuktikan komitmen YP dalam membudayakan kecemerlangan dan integriti melalui pencapaian anugerah berprestij di bawah naungan United Nations Global Compact.
Majlis anugerah anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) itu berlangsung di ibu negara dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
YP memenangi kategori Anti-Rasuah menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk “Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001”, selepas disenarai pendek bersama Thumbprints United Sdn Bhd, sekali gus mengungguli kategori itu di peringkat akhir.
Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed bersama Pengarah Eksekutif, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Faroze Nadar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan komitmen berterusan YP dalam memperkukuh nilai integriti, ketelusan serta amalan tadbir urus korporat yang berlandaskan piawaian antarabangsa.
“Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang dianugerahkan oleh United Nations Global Compact.
“Ia membuktikan kesungguhan Yayasan Pahang dalam melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001,” katanya.
Pada majlis sama, beberapa organisasi terkemuka negara turut menerima pengiktirafan bagi kategori lain, antaranya Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Telekom Malaysia Berhad, sekali gus memperkukuh kredibiliti dan kedudukan anugerah ini di peringkat nasional dan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




