Yonniboii percepat majlis nikah takut PKP semula

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Yonnyboii mengejutkan peminatnya apabila sudah bergelar suami setelah bernikah dengan tunangnya, Nik Nazira Narriman pada 20 November lalu.

Pernikahan yang dirancang pada tahun hadapan telah dipercepatkan bagi memenuhi permintaan keluarga kerana risau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

“Majlis ringkas saja bersaksikan 20 orang ahli keluarga terdekat daripada kedua-dua belah pihak. Tiada niat hendak merahsiakan pernikahan.

“Cuma kami hanya ingin menjaga hati keluarga yang mana jumlah tetamu terpaksa dihadkan. Oleh itu, kami memilih untuk tidak terlalu menghebahkannya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurut Yonnyboii, segala urusan pernikahan mereka telah dipermudahkan dalam tempoh sehari sahaja, termasuk baju pernikahan mereka.

Jelasnya, keputusan untuk berkahwin segera juga telah dibuat iaitu tiga hari sebelum pernikahan, manakala ibunya meminta mereka untuk memuat naik gambar di Instagram bagi mengelak timbul sebarang fitnah.

Sebelum ini, Yonnyboii, 23, atau sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin mengikat tali pertunangan dengan Nazira pada 9 Oktober lalu.

Pasangan itu merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 22 Januari pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette