SKUAD Remaja Lelaki dan Wanita Kebangsaan bersedia menggalas cabaran Malaysia pada Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China dari 4 hingga 13 September ini dengan misi utama memburu tiket ke Piala Dunia Remaja 2027.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan senarai 20 pemain bagi setiap pasukan yang akan membawa cabaran negara pada kejohanan berkenaan yang turut menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2027.
Naib Presiden KHM merangkap Pengurus Skuad Remaja Wanita Kebangsaan, Datuk Mohd Saiyuti Abdul Samat percaya Young Tigresses mampu mencipta kejutan dengan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.
“Saya lihat pemain-pemain yang terpilih kali ini adalah mereka yang mempunyai masa depan dan mampu mengubah pasukan hoki wanita negara. Ia bermula daripada aksi persahabatan dengan pasukan senior Singapura sebelum ini.
“Corak permainan yang pantas, menyerang serta menjaringkan gol. Malah ia sungguh mengagumkan seolah-olah mereka ini adalah pemain-pemain senior. Saya percaya mereka akan bermain lebih baik.
“Saya ada mengingatkan pemain bahawa mereka perlu terapkan dalam minda bahawa kita harus mendapat tempat yang lebih baik daripada tempat kelima di China nanti,” katanya.

Young Tigresses mampu mencipta kejutan dengan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China bulan depan. Foto: Konfederasi Hoki Malaysia.
Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu akan bersaing dalam Kumpulan Elit bersama China, India, Jepun dan Korea Selatan, dengan sasaran meraih satu daripada lima tiket ke Piala Dunia Remaja 2027.
Jika berjaya menamatkan kejohanan dalam kelompok empat terbaik, ia bakal menjadi pencapaian terbaik Young Tigresses dalam sejarah Piala Remaja Asia.
Sementara itu, Bendahari KHM merangkap Pengurus Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Selvendran Saravanamuthu yakin Young Tigers mampu mencapai sasaran layak secara merit ke Piala Dunia Remaja 2027 selepas menjalani persiapan rapi.
“Selepas semua persiapan diberikan sebaiknya, keyakinan pemain lebih tinggi. Inilah masanya buat pemain serlahkan dan buktikan kemampuan bermain pada tahap terbaik.
“Tonjolkan semangat ‘Tigers’ yang tinggi dalam diri dan cabar kemampuan untuk buktikan bahawa mereka layak berada di tempat mereka berada sekarang. Buktikan Malaysia mampu bersaing hebat di pentas antarabangsa,” katanya.
Pasukan kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, China, Kazakhstan dan Pakistan sebelum memburu peluang menempatkan diri di podium.
Young Tigers pernah muncul juara Piala Remaja Asia 2012, manakala pada dua edisi terakhir mereka menamatkan saingan di tempat keempat pada 2023 dan 2024. Skuad lelaki akan berlepas ke Moqi pada awal pagi 30 Ogos, disusuli pasukan wanita sehari kemudian.
