Young Tigress harap peluang aksi antarabangsa sebelum ke Chile

Young Tigress harap peluang aksi antarabangsa sebelum ke Chile

SKUAD hoki remaja wanita negara masih menaruh harapan tinggi untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan berintensiti tinggi sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Santiago, Chile hujung tahun ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samad berkata, Young Tigress kendalian Lailin Abu Hassan amat memerlukan aksi kompetitif sebagai medan pemanas badan sebelum beraksi di pentas dunia.

“Kami menyasarkan untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan di Afrika Selatan, Australia, atau sekurang-kurangnya di China.

“Bila berdepan pasukan luar yang lebih hebat dari segi fizikal, secara tidak langsung pemain kita akan cepat menyesuaikan diri dan belajar mengatasi tekanan pertandingan sebenar.

“Aksi persahabatan luar negara ini bukan sekadar latihan biasa, malah menjadi pentas awal untuk pemain membuktikan kemampuan sebelum berdepan saingan sebenar di Chile nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Piala Dunia Hoki Remaja 2025 dijadualkan bermula pada 1 hingga 13 Disember menyaksikan skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama Belanda, Jepun dan tuan rumah Chile.

 

Scroll to Top