Yusoff Rawther takut balik Malaysia! Bimbang keselamatan diri, mohon suaka di UK

Yusoff Rawther takut balik Malaysia! Bimbang keselamatan diri, mohon suaka di UK

Bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri, Muhammed Yusoff Rawther yang kini berada di United Kingdom (UK) tidak akan pulang ke Malaysia selepas mendakwa bimbang terhadap keselamatan dirinya, menurut peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Rafique berkata, anak guamnya itu telah memohon perlindungan suaka hak asasi manusia di United Kingdom, selain pasportnya kini dipegang pihak berkuasa di negara berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Yusoff tidak dapat menghadiri prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis ganja serta memiliki dua pucuk pistol tiruan.

Kredit Foto: N Faizal Ghazali | Malaysiakini

“Saya ingin memaklumkan bahawa pada 1 Jun saya menerima satu salinan emel daripada anak guam, apa yang saya lakukan selanjutnya, pada 2 Jun saya menulis terus presiden Mahkamah Rayuan memaklumkan perkembangan terkini kes ini dan sesalinan surat juga saya salinkan kepada peguam negara.
“Pada 1 Jun saya mendapat pemakluman dan pengesahan bahawa anak guam saya memohon perlindungan suaka hak asasi manusia kepada kerajaan UK dan passportnya dipegang pihak berkuasa di sana.
“Dia berada di London dan memohon perlindungan suaka hak asasi manusia kerana benar-benar berada dalam ketakutan, risau tentang keselamatan dirinya dan risau diapa-apakan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 12 Jun tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammed Yusoff Rawther selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Sebelum itu, beliau berdepan pertuduhan memiliki kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol serta dadah di bawah Seksyen 39A(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206).

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 16 Jun tahun lalu, dengan pendengaran rayuan dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 15 Jun ini.

Mengulas lanjut, Rafique berkata ketakutan yang dihadapi Yusoff berpunca daripada proses perundangan yang dilaluinya, yang disifatkan amat menakutkan, menyakitkan dan merisaukan.

“Kita sedia maklum apabila pertuduhan dibawa terhadapnya dan dia sentiasa menyatakan dirinya adalah mangsa perangkap, dirinya diperangkap dan dikenakan perangkap,” katanya.

Tambahnya lagi, kerisauan itu menjadi lebih serius apabila pihak pembelaan semasa perbicaraan menyatakan Yusoff menjadi mangsa perangkap individu berpengaruh atau pihak yang mempunyai kaitan dengan individu berkenaan.

“Ini merupakan kerisauan yang bukan dibuat-buat kerana dengan jelas menyatakan dia merupakan mangsa perangkap. Dia buat laporan polis dan dia bagi tahu dalam rakaman percakapan tentang perkara ini dan walaupun alasan ini dimasukkan dalam alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi.
“Saya di sini untuk menyatakan Yusoff Rawther takut untuk pulang ke Malaysia, takut tentang keselamatan dirinya. Dia tidak takut dengan kes yang dihadapi kerana dia ditangkap, direman sembilan bulan 10 hari, dia hadap proses mahkamah, dia lawan dalam mahkamah dan terbukti tidak bersalah. Dia tidak lari daripada proses perundangan.
“Tapi apa yang berlaku ahli-ahli PKR buat laporan polis kononnya Yusoff adalah ejen negara asing, terus dibuat laporan polis sebaik dia dibebaskan,” dakwanya.

Rafique turut membangkitkan beberapa kes lain termasuk kehilangan dan kematian misteri yang menurutnya menjadi antara faktor kebimbangan anak guamnya terhadap keselamatan diri.

Antaranya, beliau merujuk kepada kehilangan ahli perniagaan, Pamela Ling serta kematian seorang Pegawai Tribunal Kastam berusia 45 tahun yang ditemukan maut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 5 Mac 2025.

Katanya, dalam situasi sedemikian, Yusoff berasa dirinya tidak selamat walaupun ketika berada di United Kingdom.

“Dengan isu-isu yang terkena pada dirinya, pengalaman dilalui, dia mohon suaka dan kerajaan UK sedang proses dan belum memuktamadkan lagi permohonan tersebut tetapi dalam masa sama menahan passportnya.
“Ini mengesahkan bahawa Yusoff berada di UK, kita pun takut nak bagitahu dia berada di mana sebab seperti mana saya nyatakan ada tekanan-tekanan ke atas diri dan keselamatannya dan Yusoff bukan melarikan diri.
“Yusoff juga tidak mohon rayuan terhadap kesnya dibatalkan tanpa proses pendengaran dan menyatakan mahu meneruskan rayuan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusoff sebelum ini memfailkan saman pada Julai 2021 menuntut deklarasi mahkamah bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melakukan serangan seksual terhadapnya, selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk atas trauma serta gangguan kesihatan mental yang dialami.

Artikel lain: Tiada keperluan ambil kenyataan PM, siasatan kes Yusoff Rawther akan diteliti semula – KPN

Kes itu masih belum dibicarakan sepenuhnya susulan beberapa permohonan praperbicaraan yang difailkan kedua-dua pihak.

Anwar pula dilaporkan memfailkan permohonan awal sebelum perbicaraan bagi mendapatkan keputusan terhadap beberapa isu terlebih dahulu termasuk pergerakan dan kehadiran Yusoff di kediamannya pada hari kejadian yang didakwa.

Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah pada 4 Ogos ini.

Sumber: Malaysiakini

Scroll to Top