Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencuri perhatian apabila membalas pantun yang dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial, sekali gus menepis spekulasi mengenai hubungan mereka dalam Kerajaan Perpaduan.
Pantun dihasilkan selepas baca hantaran PM Anwar
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Zahid menyatakan, pantun itu dihasilkan pada malam Rabu sejurus selepas beliau membaca hantaran Anwar yang tular ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin memuncak.
Ujarnya, balasan tersebut dibuat secara santai sebagai respons kepada pelbagai gurauan yang mengaitkan hubungan antara mereka.
“Saya pun ada pantun juga. Saya nak balas (pantun Anwar). Saya buat pantun ini jam 9.04 malam tadi, lepas keluar berita. Ini pantunnya.
Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung temui maut,
Bumbung tercabut mampu ditahan,
Jika ribut, diterbang ke laut.Faham tak? Tak faham tak apa. Saya sebut lagi sekali,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelerasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-61 di Teluk Bahang, Pulau Pinang, pada Khamis.
Walau bagaimanapun, Presiden UMNO itu enggan menghuraikan maksud tersirat pantun berkenaan, sebaliknya menegaskan hubungan beliau dengan Anwar kekal baik sambil berseloroh mengenai persefahaman mereka.
“Hubungan kita baik-baik sahaja. Tengok lah, apa saja yang (kita) tak buat, cuma belum cium mulut saja lagi.
“Lain semua okey,” katanya dalam nada bergurau ketika ditanya mengenai hubungan beliau dengan Anwar.
Sebelum ini, Anwar menerusi hantaran di Facebook rasminya berkongsi pantun empat kerat yang membawa mesej mengenai kepentingan kesepakatan, disiplin dan semangat setiakawan dalam sesebuah permuafakatan.
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan,
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan,” katanya.
Hantaran itu turut menarik perhatian ramai apabila diiringi lagu malar segar era 1980-an, Madu dan Racun, selain memaparkan gambar suasana mesyuarat Jemaah Menteri yang memperlihatkan Anwar, Ahmad Zahid dan Anthony Loke dalam keadaan mesra dan ceria.
Sumber: Sinar Harian (Syajaratulhuda Mohd Rosli)






