am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan model, Zahnita Wilson, 41, sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Farouk Osman Yunus, 46 dengan sekali lafaz di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, pagi tadi.
Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson dilaporkan dinikahkan abangnya Mohd Julian Hussein disaksikan Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Daerah Sepang, Mohammad Nazri Sobirin.
Majlis yang diadakan secara sederhana itu dihadiri rakan, keluarga dan saudara mara terdekat.
Zahnita turut menerima mas kahwin sebanyak RM300 dengan hantaran berupa dua bentuk cincin dan kelengkapan solat.
Dalam pada itu, kedua mempelai tampil sedondon dengan mengenakan persalinan pernikahan serba putih hasil sentuhan ruby signature.
Pada Ogos lalu, Zahnita dalam satu temubual bersama media mendedahkan sudah bergelar tunang kepada jejaka yang dikenali sebagai Mr F yang juga duda tiada anak
Terdahulu Zahnita pernah mendirikan rumah tangga bersama Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor pada 2005 namun berpisah pada Ogos 2025.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Zahrafeena, 19, Zasharayna Ghouse, 14, Zahlia Syawwal, 9 dan Abd Zayden Ghouse, 5 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




