
Mad Nasir (kiri) dan Zaid diumum menyertai Pas.
SEREMBAN – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim dan ayah kepada pelakon popular Anzalna iaitu Profesor Dr Md Nasir Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia antara 15 individu yang diumumkan menyertai Pas.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di sini pada Sabtu.
Turut diumumkan menyertai parti itu iaitu bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman; bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Mohamad Rafie; bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob dan Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Lembah Pantai, Datuk Muqarrabin Mokhtarrudin

Mohamad Rafie (kiri) diumum menyertai Pas.
Selain itu, bekas Pengerusi Kelab UMNO Manchester, United Kingdom, Dr Md Nizam Baharom; bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Seremban, Datuk TPr Lokman Omar dan bekas pemain bola sepak profesional, Azlan Johar.
Beberapa bekas pemimpin UMNO turut diumumkan menyertai parti tersebut, antaranya bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Padang Serai, Saiful Azli Saiful Rizwan; bekas Setiausaha UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Ahmad Tarmizi Musa; bekas Exco Pemuda UMNO, Mustapha Shah dan bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman.
Takiyuddin berkata, parti itu mengalu-alukan kemasukan kesemua tokoh-tokoh tersebut kerana telah membuat satu tekad untuk bersama dengan perjuangan Pas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.



