Zazzleen ‘All Out’ Dalam Showcase Timeless, Energi Buat Peminat Terpukau

Zazzleen ‘All Out’ Dalam Showcase Timeless, Energi Buat Peminat Terpukau

Penyanyi, Zazzleen, meluahkan rasa syukur apabila showcase eksklusifnya Timeless: An Intimate Night yang berlangsung di Liberal Latte, Bukit Damansara, Sabtu lalu berjaya mencuri hati penonton.

Malah, malam tersebut terasa lebih istimewa kerana peminat yang hadir dianggapnya bukan sekadar penyokong, tetapi juga sebagai rakan.

Dalam persembahan hampir dua jam itu, Zazzleen membawa penonton mengimbau nostalgia dengan lagu-lagu malar segar ibunya, seniwati Datin Normala Omar seperti Citra Cinta, Akulah Yang Dicari, Opah dan Seribu Kenangan.

“Saya buat showcase ini sebab nak orang nampak sisi sebenar saya yang penuh tenaga. Sebenarnya dah lama saya impikan satu malam khas untuk kawan-kawan, tapi dulu selalu fikir ‘eh siapa saya ni?’.

“Selepas sertai One In A Million, Alhamdulillah saya dapat platform yang lebih baik. Showcase ini juga khas untuk menghargai karya mak saya, Normala Omar. Saya cuba gabungkan dua era iaitu ‘vibes’ dulu dan sentuhan hari ini,” katanya.

Bukan itu saja, Zazzleen turut mengakui dia sempat berasa gementar pada awalnya, bimbang sama ada lagu-lagu yang dibawakan dapat diterima, namun, reaksi peminat ternyata luar jangkaan.

“Alhamdulillah, semua enjoy. Dari dulu lagi, mereka kenal saya bukan hanya penyanyi, tapi penghibur. Tenaga ni saya sendiri tak tahu datang dari mana, mungkin sebab saya cuba beri lebih daripada sekadar nyanyian. Itu semua rezeki dan anugerah Allah,” ujarnya.

Selain menghargai karya ibunya, bekas peserta Calpis Soda One In A Million (CSOAIM) 2024 ini turut mendendangkan beberapa lagu bermakna buat dirinya seperti Hitam Putih Kehidupan (Datuk Sheila Majid), Wajah Rahsia Hati (Ogy Ahmad Daud) serta Matahari (Maya).

Showcase Timeless nyata membuktikan, Zazzleen bukan sekadar penyanyi tetapi seorang penghibur bertenaga yang mampu membuat penonton terpukau dari awal hingga akhir.

Scroll to Top