Zen Hong bolot sembilan emas

PETALING JAYA: Penembak Pahang, Cheah Zen Hong menutup tirai penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) dengan pencapaian luar biasa apabila mengutip sembilan pingat emas dalam satu edisi, sekali gus memecahkan rekod tujuh emas miliknya pada SUKMA Sarawak 2024.

Zen Hong melengkapkan koleksi emas bersejarah itu dengan dua kemenangan pada hari terakhir saingan menembak, masing-masing dalam acara 25 meter pistol lelaki individu dan berpasukan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, hari ini.

Dalam acara individu, Zen Hong mengungguli saingan dengan 575 mata untuk menewaskan wakil Terengganu, Banin Al Ghazali Ahmad Badrul Hisyam yang mengutip 566 mata, manakala rakan sepasukannya dari Pahang, Muhammad Zainal ‘Azim Ahmad Mahmud meraih gangsa dengan 563 mata.

Zen Hong kemudian membantu Pahang meraih emas berpasukan apabila bergandingan dengan Ahmad Mahmud Muhammad Zainal ‘Azim dan Abdul Razak Ahmad Danial Hakim untuk mengumpul 1,671 mata, mengatasi Selangor (1,645) dan Terengganu (1,629).

Pencapaian sembilan emas itu bukan sahaja memecahkan rekod peribadinya sendiri, malah menjadi penutup sempurna buat perjalanan Zen Hong dalam arena SUKMA selepas tiga edisi bermula 2022.

“Sembilan pingat emas bukan sesuatu yang mudah. Saya sangat gembira kerana dapat memecahkan rekod tujuh emas pada SUKMA edisi lepas. Jadi bagi saya, bab junior karier saya sudah habis,” katanya.

Zen Hong mengakui sempat memikirkan kemungkinan memecahkan rekod berkenaan, namun enggan membebankan dirinya dengan tekanan tambahan dan memilih untuk kekal fokus sehingga saingan berakhir.

“Secara jujur tadi ada terfikir, boleh ke tak pecah rekod? Tetapi saya cakap kepada diri sendiri, macam biasa, jangan fikir banyak sangat, habiskan sahaja dan buat yang terbaik. Harap ini menjadi penamat yang sempurna untuk saya,” katanya.

Atlet Pahang itu menyifatkan perjalanan tiga edisi SUKMA sebagai pengalaman bermakna selepas berjaya mencapai sasaran pada setiap penyertaan, namun kini mahu mengalihkan fokus kepada cabaran lebih besar di pentas antarabangsa.

“Bagi saya, dari SUKMA 2022 hingga 2026, saya sangat bersyukur kerana dalam ketiga-tiga edisi saya dapat capai apa yang saya mahukan. Ini satu perjalanan yang sangat baik dan saya harap selepas ini saya boleh mencipta pencapaian luar biasa seperti ini di luar sana,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top