ZETRIX AI Berhad (Zetrix AI) dan China Academy of Information and Communications Technology (CAICT) memperkenalkan protokol kepercayaan berasaskan blok rantai untuk ejen AI.
Inisiatif ini diperkenalkan sebagai infrastruktur penting bagi ekonomi agentik yang sedang berkembang, di mana sistem AI bertindak, berurus niaga dan berkomunikasi bagi pihak individu serta syarikat.
Dilancarkan pada World Internet Conference Asia Pacific di Hong Kong, platform Avatar ini membolehkan individu dan syarikat mencipta ‘kembar digital’ AI agentik yang dilatih berdasarkan personaliti, citarasa, pengetahuan serta gaya komunikasi mereka.
Ejen tersebut berupaya berinteraksi dengan pengguna, ejen AI lain dan sistem dalam talian bagi melaksanakan pelbagai tugasan. Avatar juga diperkukuh oleh lapisan identiti yang disahkan serta mempunyai akses kepada bukti kelayakan atau aset digital.
Naib Presiden Astron CAICT, You Xiao Yu berkata, AI agentik yang diperkasa oleh blok rantai akan membentuk asas kepercayaan bagi interaksi digital autonomi untuk generasi akan datang.
“Apabila ejen mula bertindak bagi pihak individu dan syarikat, pelaksanaan yang selamat dan boleh dipercayai bukan lagi satu pilihan yang boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Avatar bukan sekadar pembantu AI, sebaliknya berfungsi sebagai infrastruktur bagi satu aktiviti baharu internet yang dibina berasaskan interaksi dipacu mesin yang disahkan antara individu, syarikat dan ejen perisian autonomi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI Berhad, TS Wong berkata, ejen yang mewakili pengguna individu dan/atau syarikat mencetuskan gelombang baharu tugasan agentik.
“Ia menuntut kepastian terhadap identiti pihak yang berurus niaga serta memerlukan akses kepada bukti kelayakan yang boleh disahkan serta aset digital untuk menyelesaikan tugasan tersebut,” katanya.
Dibina berasaskan kerangka hibrid OpenClaw serta integrasi rantaian blok Astron dan Zetrix, Avatar membolehkan ejen AI mengakses kelayakan yang boleh disahkan, termasuk identiti, kelayakan profesional dan aset digital.
Platform ini akan dilengkapi dengan rangka kerja keselamatan yang diperakui oleh CAICT, di samping sebuah pusat tugas ejen terbuka yang membolehkan pembangun pihak ketiga menerbitkan ejen khusus mereka sendiri.
Dalam pada itu, ketika sesi pembentangan, Ketua Pegawai AI Zetrix dan juga arkitek Avatar, CZ Wong menggariskan masa depan di mana avatar AI agentik mampu beroperasi dalam pelbagai mod interaksi.
Bagi golongan eksekutif dan profesional, syarikat menyasarkan penggunaan avatar mampu membantu proses orientasi pekerja baharu, menjawab soalan strategik serta memelihara pengetahuan institusi tanpa terikat dengan kekangan masa dan ketersediaan manusia.
Untuk selebriti dan personaliti terkenal pula, avatar ini berupaya mengendalikan interaksi peminat serta urusan komersial secara besar-besaran sekali gus membolehkan ribuan perbualan peribadi berlangsung serentak tanpa memerlukan kehadiran fizikal individu berkenaan.
Bagi golongan kreator dan pempengaruh, Zetrix AI melihat Avatar sebagai enjin penjanaan pendapatan asli AI yang membolehkan pengguna menggabungkan kepakaran mereka, mengendalikan komuniti berbayar, menyampaikan pengajaran secara khusus serta meluaskan skop komersial mereka tanpa terikat dengan batasan masa.
Dan bagi syarikat, tawaran ini lebih bersifat disruptif: iaitu peralihan daripada laman web statik kepada ejen korporat autonomi yang mencari prospek secara aktif,menyesuaikan mesej mengikut profil pelanggan serta melaksanakan jangkauan yang khusus dan berterusan.
Bagi pengguna individu pula, platform ini menawarkan hasrat yang lebih peribadi, iaitu mewujudkan lanjutan diri yang lebih pintar dan berkeupayaan tinggi. Lanjutan ini dilatih berdasarkan pengetahuan dan citarasa pengguna itu sendiri, bagi membantu mereka melengkapkan pelbagai tugasan.
Menurut Zetrix AI, keupayaan ini berpotensi berkembang menjadi satu bentuk legasi digital yang boleh disahkan. Ini membolehkan generasi akan datang berinteraksi dengan perwatakan seseorang yang kaya dengan pengetahuan secara berterusan, meskipun selepas ketiadaan individu tersebut.
Pada masa sama, potensi terbesar terletak pada interaksi ejen-ke-ejen, atau A2A (agent-to-agent). Dalam model ini, avatar seseorang pengguna boleh berunding, bekerjasama, bertukar maklumat serta berurus niaga dengan avatar lain yang telah disahkan, tanpa memerlukan campur tangan manusia secara langsung.
Jelas Zetrix AI, rantaian bloknya akan berfungsi sebagai lapisan kepercayaan, identiti dan penyelesaian transaksi bagi pertukaran mesin-ke-mesin tersebut.
Tunjang utama strategi ini ialah pusat ejen di platform tersebut, di mana pembangun pihak ketiga boleh memuat naik ejen khusus untuk kegunaan pengguna lain.
Ejen-ejen tersebut boleh disepadukan dengan kelayakan pengguna bagi melaksanakan fungsi tertentu, manakala para pembangun juga boleh memohon pensijilan keselamatan CAICT untuk meningkatkan kadar penggunaan dalam kalangan perusahaan dan institusi.
Langkah ini mengetengahkan usaha yang semakin giat untuk menggabungkan pengesahan berasaskan rantaian blok dengan autonomi AI, semasa kebimbangan yang semakin meningkat tentang penyamaran identiti, kebenaran akses, halusinasi serta ketiadaan landasan pengesahan identiti yang boleh dipercayai dalam ekosistem AI terbuka.
Zetrix AI percaya infrastruktur ejen yang dipercayai berpotensi menjadi sama penting kepada era internet seterusnya, seumpama impak laman web ketika era internet pertama dan aplikasi mudah alih semasa era kedua.
Sekiranya tesis ini menjadi kenyataan, Avatar bukan sekadar pelancaran produk. Ia merupakan satu pertaruhan bahawa ekonomi AI pada masa hadapan memerlukan satu lapisan kepercayaan dan rantaian blok akan menyediakannya.


