aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia bakal membuat kemunculan pertamanya selepas berehat panjang dengan menyertai Masters Orleans di Perancis yang akan bermula esok.
Perkara itu disahkan oleh Team LZJ yang turut memaklumkan Zii Jia akan menyertai Seluruh England sebelum menamatkan siri jelajah Eropah di Terbuka Switzerland.
“Jelajah ‘Comeback’ bermula di Masters Orleans. Kemudian yang terbesar dan berprestij di Seluruh England.
“Menamatkan jelajah Eropah di Terbuka Switzerland. Satu langkah pada satu masa…bersama,” kata Team LZJ dalam hantarannya di laman X, hari ini.
Terdahulu Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali kanan ketika Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember lalu.
Pada aksi di Masters Orleans yang berstatus Super 300 itu, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan utama akan berdepan pemain Taiwan di ranking ke-30 dunia, Chi Yu Jen di pusingan pertama.
Di atas kertas, Zii Jia tampak tidak mempunyai masalah untuk menjinakkan lawannya itu selepas menang dua pertemuan sebelum ini.
Kali terakhir kedua-dua pemain berkenaan bertemu adalah di Antarabangsa Orleans 2017 dan pada ketika itu Zii Jia meraih kemenangan straight set 22-20, 21-12.
© New Straits Times Press (M) Bhd




