Zii Jia mara separuh akhir

Zii Jia mara separuh akhir

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini semakin menghampiri gelaran kejuaraan kedua musim ini apabila mara ke separuh akhir Terbuka Australia.

Zii Jia berjaya mengekalkan momentum kemenangan apabila mengatasi wakil Jepun, Kenta Nishimoto 16-21, 21-12, 21-12 pada aksi suku akhir di Sydney Olympic Park, hari ini.

Zii Jia selepas ini berdepan pemain muda Taiwan semakin meningkat naik Lee Chia Hao yang melakar kejutan menewaskan pemain seniornya, Chou Tien Chen 22-20, 22-20 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Justeru Zii Jia mengakui dia perlu lebih berwaspada dengan kebangkitan dipamerkan Chia Hao.

“Saya perlu berwaspada dengan Chia Hao terutama ketika dia baru mencipta kejutan menewaskan seniornya, Tien Chen. Jadi dia pasti berada di tahap terbaiknya dan sangat bersemangat tinggi. Mungkin saya akan menempuh perlawanan sengit menentangnya esok,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pertemuan terakhir membabitkan Zii Jia dan Chia Hao menyaksikan lawannya itu berjaya menang dalam pertarungan tiga set ketika saingan Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.

Sementara itu dalam aksi beregu lelaki, pasangan negara Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian merekodkan pencapaian terbesar apabila turut mara ke separuh akhir Terbuka Australia.

Mereka yang menduduki ranking ke-26 dunia menewaskan gandingan tuan rumah, Rizky Hidayat-Frengky Wijaya Putra 21-16, 18-21, 21-12 pada aksi suku akhir di Sydney Olympic Park.

Ini kali pertama Haikal-Hon Jian melangkah ke kelompok empat terbaik dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500.

Sementara itu beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berpeluang membalas dendam kekalahan di Terbuka Indonesia minggu lalu kepada beregu nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin apabila turut mara ke separuh akhir.

Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-19 dunia itu tidak berdepan masalah menumpaskan rakan senegara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-15, 23-21 dalam tempoh 40 minit di suku akhir.

Manakala Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin hanya memerlukan 31 minit untuk menunjukkan jalan keluar kepada beregu India, B Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-12, 21-14.

Bagaimanapun ia bukan tugas yang mudah buat Kian Meng-Pei Jing kerana Zhen Bang-Ya Xin yang kini berada di ranking kelima dunia berada di prestasi terbaik mereka selepas bergelar juara Terbuka Indonesia minggu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top