saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak mempunyai perancangan khusus menjelang pertembungan dengan jaguh Denmark, Anders Antonsen pada aksi suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2024, malam esok.
Bagaimanapun dia berjanji akan mempamer aksi terbaik apabila menentang lawannya di ranking ketiga dunia itu dalam usahanya untuk menempah tiket ke separuh akhir pada penampilan keduanya di temasya sukan terbesar dunia itu.
Pertembungan kedua-dua pemain itu cukup sengit dengan Antonsen memenangi lima daripada lapan pertemuan dengan Zii Jia yang kini menduduki ranking ketujuh dunia.
Bagaimanapun kali terakhir pertemuan mereka di Masters Malaysia Mei lalu menyaksikan kemenangan memihak kepada Zii Jia
“Akan jadi satu perlawanan yang sengit. Kali terakhir di Masters Malaysia, sangat sengit dan ini Olimpik, orang ramai lebih teruja.
“Tidak ada perancangan yang khusus untuk perlawanan esok, hanya mahu melakukan yang terbaik,” katanya selepas tamat perlawanan.
Terdahulu juara Seluruh England 2021 itu melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pemain tuan rumah, Toma Junior Popov pada aksi 16 terakhir, hari ini.
Berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Zii Jia memerlukan masa 47 minit untuk menewaskan Popov straight set 21-13, 24-22.
© New Straits Times Press (M) Bhd