Zii Jia terlepas slot Kejohanan Badminton Dunia 2026

Zii Jia terlepas slot Kejohanan Badminton Dunia 2026

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harapan pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk kembali beraksi di Kejohanan Badminton Dunia 2026 lebur apabila pemain profesional negara itu gagal melayakkan diri ke kejohanan yang dijadual berlangsung di New Delhi, India pada 17 hingga 23 Ogos depan.

Berdasarkan senarai kelayakan Fasa 1 dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Malaysia hanya layak menghantar dua wakil perseorangan lelaki menerusi Leong Jun Hao dan Justin Hoh.

Kedudukan ranking dunia pada 27 April lalu digunakan sebagai asas penentuan kelayakan, dengan Jun Hao berada di ranking ke-25 dunia manakala Justin menghuni tangga ke-44.

Zii Jia pula ketika itu hanya berada di kedudukan ke-82 dunia, sekali gus terlepas slot ke kejohanan berprestij berkenaan.

Lebih mengecewakan, bekas juara Seluruh England itu juga hampir pasti tidak berpeluang mendapat tempat sekiranya berlaku penarikan diri.

Ini kerana slot gantian dijangka akan diberikan kepada Aidil Sholeh Ali Sadikin atau Eogene Ewe yang memiliki ranking lebih tinggi ketika senarai kelayakan dikeluarkan.

Bagaimanapun, prestasi Zii Jia menunjukkan peningkatan selepas membantu kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark apabila mencatat kemenangan dalam semua aksi peringkat kumpulan.

Momentum itu menyaksikan rankingnya melonjak ke tangga ke-65 dunia ketika ini, namun ia sudah terlambat untuk mempengaruhi proses kelayakan Kejohanan Dunia.

Malaysia kali ini dijangka menghantar 11 wakil ke New Delhi, berkurangan berbanding 13 wakil pada edisi lalu di Paris.

Pada kejohanan tahun lalu, Malaysia mencipta sejarah apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara beregu campuran, manakala Pearly Tan-M Thinaah meraih pingat perak beregu wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top