Syor dakwa terus pemilik kad fleet khianat

Syor dakwa terus pemilik kad fleet khianat

KUANTAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan tindakan lebih tegas terhadap pemilik kad subsidi diesel (kad fleet) yang bersubahat dengan sindiket penyelewengan bahan api, termasuk didakwa terus di mahkamah berbanding sekadar dikenakan kompaun.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, syor tersebut dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan hukuman lebih keras dan berkesan dapat dilaksanakan terhadap pihak yang mengkhianati sistem subsidi kerajaan.

Kata beliau, mana-mana pemilik kad subsidi yang dikesan menyerahkan atau menjual kuota diesel bersubsidi kepada sindiket untuk dijual semula kepada sektor industri tidak seharusnya diberikan ‘jalan mudah’ melalui bayaran kompaun semata-mata.

“Kita mahu amalan hanya mengenakan kompaun ini dihentikan bagi kes-kes khianat seperti ini. Saya cadangkan supaya mereka terus didakwa di mahkamah dan pada masa sama batalkan terus kelayakan mereka sebagai pemilik kad subsidi,” katanya selepas Program Jelajah Wira Madani di Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Kem Galing, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas itu penting kerana kegiatan berkenaan bukan sahaja melibatkan ketirisan subsidi kerajaan, malah menjejaskan usaha memastikan bekalan bahan api mencukupi untuk rakyat.

“Ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada usaha kerajaan yang bergelut memastikan bekalan cukup untuk rakyat tetapi ada pihak mengambil kesempatan untuk keuntungan haram,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada kejayaan pihak berkuasa di Kedah minggu lalu menggagalkan cubaan penyalahgunaan kad fleet yang diserahkan kepada sindiket sebelum diesel bersubsidi itu dijual pada harga industri.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pemantauan ketat di kira-kira 170 stesen minyak berhampiran sempadan negara menunjukkan keberkesanan kawalan penguatkuasaan apabila jualan petrol RON95 merekodkan penurunan sehingga 20 peratus. – UTUSAN

Scroll to Top